3/23/2011

SITI KHAIRIAH ABD MANAS(F1099),NOOR SHAZRINA SHAHFARI(F1095),AZIZAH NADIYA ABU HARI(F1094),NURUL AIN ABD RAHMAN(F1097),NURWANI AZIZAN(F1093).

Punca utama nahas di tempat kerja

Cetak

Punca utama nahas di tempat kerja
Berita Harian:2010/07/06

KUANTAN: Tekanan adalah penyakit pekerjaan yang banyak menyumbang kepada kemalangan di tempat kerja, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.

Beliau berkata, menurut laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), tekanan dikenal pasti penyakit pekerjaan abad terkini yang paling bahaya dalam dunia pekerjaan. Katanya, tekanan yang dihadapi seseorang pekerja itu boleh menyebabkannya hilang tumpuan di tempat kerja sehinggakan terlepas pandang aspek keselamatan. “Contohnya sekiranya tempat kerja itu mempunyai persekitaran yang banyak risiko seperti di tempat tinggi, kalau emosi pekerja itu terganggu sebab tekanan ia akan mengalihkan tumpuan kerja dan mengakibatkan kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2010 Peringkat Kebangsaan dan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Institusi Pendidikan di Universiti Malaysia Pahang di sini, semalam.

Maznah berkata, penyakit pekerjaan lain adalah penyakit yang berkaitan dengan paru-paru, kulit, pendengaran, kanser, agen biologi, tulang belakang dan rangka manusia serta pendedahan kepada kimia.

Beliau berkata sebanyak 55,186 kes kemalangan di tempat kerja dilaporkan sepanjang tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 1.95 peratus berbanding tahun 2008 dengan 1,231 kes adalah kes kemalangan maut.
Sementara itu katanya, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) menjalankan 136,951 pemeriksaan terhadap kilang dan jentera di seluruh negara pada tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, DOSH mengeluarkan 3,407 surat arahan serta notis untuk memperbaiki dan sebanyak 258 kompaun kepada kesalahan kecil yang dilakukan majikan,” katanya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment